Ahad, 8 Ogos 2010
bimarasta(WALI BAND-TOBAT MAKSIAT)
USAHAWAN, HARTAWAN DAN KASIH SAYANG
USAHAWAN, HARTAWAN DAN KASIH SAYANG
Usahawan adalah bidang yang dimuliakan Islam. Nabi SAW bersabda, "9/10 rezeki dari daripada perniagaan." Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda, "Sebaik-baik rezeki yang dimakan oleh seseorang ialah dari apa yang diusahakan oleh tangannya sendiri."
Usahawan yang tidak lalai dari mengingati Allah walaupun penuh kesibukan adalah orang yang terselamat daripada tipu daya syaitan. Sesungguhnya ramai manusia yang sibuk dengan pekerjaan duniawi lantas mereka lupa kepada Allah.
Firman Allah, "Syaitan telah menguasai ke atas diri mereka, sehingga ia melupakan mereka dari mengingati Allah." (Al-Mujadalah : 19)
Syeikh Ibrahim Adham, seorang Sufi yang terkenal pernah berkata, "Satu saat jujur dalam perniagaan lebih ku kasih dari ibadah sepanjang malam".
Pernah beliau bertemu dengan sahabatnya yang berada di satu tempat dengan hanya menumpukan ibadah dan mendapat rezeki dari pemberian orang. Lalu Syeikh bertanya kenapa ia berkeadaan begitu, jawab sahabatnya, "Saya pernah berada di padang pasir, saya melihat seekor burung yang patah sayap tetapi ia hidup dan sihat. Saya memerhati bagaimana ia mendapat rezeki, saya melihat seekor burung terbang ke arahnya dan memberi ia makan, lalu aku berkata dalam hatiku, 'Demi Allah , seekor burung pun dijamin rezekinya oleh Allah SWT, apatah lagi manusia,' lalu aku duduk begini tanpa menghiraukan rezekiku". Lalu berkata Syeikh, "Sayang sekali, kenapa kamu menjadi burung yang patah sayap? Kenapa kamu tidak mahu menjadi burung yang terbang mencari dan memberi rezeki". Lalu sahabatnya pun bangun dan mencium dahinya, "Engkaulah Guruku, demi Allah aku akan meninggalkan tempat ini untuk menjadi burung yang terbang."
Alangkah mulianya menjadi usahawan jika ia menjadikan niatnya untuk agama, dengan mengagihkan kekayaannya untuk membantu manusia, menyebarkan kasih sayang melalui hartanya, menyejukkan hati manusia dengan hartanya, membantu kaum yang lemah, membantu anak-anak yatim, membantu saudara yang memerlukan, membantu menguatkan agamanya, membantu menyebarkan agamanya, ia bagaikan bank bagi manusia. Ia takut pada Allah kerana ia faham harta bukan miliknya tetapi milik Allah untuk mengujinya.
Wahai para Usahawan,
Sayangilah dirimu, sayangilah kehidupanmu, sayangilah pekerjaanmu. Lihatlah sejarah Islam, demi Allah, Islam berkembang di seluruh pelusuk Asia ini dari tangan para saudagar. Mereka menggunakan segala kepandaian dan kekayaan mereka untuk menyebarkan agamanya. Mereka dihormati bukan kerana kekayaan tetapi kerana kemuliaan yang mereka perolehi atas usaha membawa manusia kepada Islam. Mereka memancarkan wajah kasih sayang. Manusia tertambat hati bila melihat mereka, kerana kerendahan dan kemesraan yang ditunjukkan tanpa sifat sombong dan angkuh. Mereka memiliki jiwa yang mencintai Tuhan dan menjadikan nafsu, hartanya di bawah kaki bukannya di hati.
Wahai para usahawan, wahai para Hartawan,
Allah memerintah kamu mengeluarkan zakat, hakikatnya bukan sahaja Allah menyuruh kamu mengeluarkan harta dari tanganmu tetapi juga mengeluarkan kekotoran dari hatimu iaitu mencintai harta dan sifat bakhil. Kerana ianya juga adalah najis pada pandangan Allah.
Bagaimana kamu mahu menyembah Tuhan jika pada pakaian atau tubuh badan kamu terkena najis? Begitu juga, bagaimana kamu mahu menyembah Tuhan jika dalam batinmu adanya najis sedangkan ia tempat pandangan Tuhan.
Sayangnya Tuhan pada hamba-Nya. Ia mewajibkan kamu membayar zakat, memperbanyakkan sedekah serta infaq supaya hatimu bersih dari kekotoran dunia. Dunia adalah bangkai dalam pandangan Nabi SAW. Sesiapa yang mencintainya bagaikan anjing yang mencintai bangkai.
Allah memuliakan kamu di akhirat sebagai usahawan yang bersyukur. Jagalah dirimu daripada kesombongan, ia pembunuh kasih sayang. Jika kamu gagal, pandanglah hikmahnya dan jangan berputus asa. Jika kamu jatuh, walau beratus atau beribu kali, hendaklah kamu bangun dan terus bangun. Anak-anak yang kecil tidak akan berjaya berjalan jika ia takut untuk jatuh. Allah akan bersama dengan orang yang sabar, orang bertawakal dan orang yang gigih berusaha.
Jika Tuhan memberi kamu kejayaan dan limpahan keuntungan, ingatlah bahawa kejayaan itu dari Allah SWT. Jangan jadi seperti Qarun yang mengatakan kekayaan itu dari kebijaksanaannya semata-mata, lalu Allah hancurkan ia bersama dengan hartanya. Bersyukurlah kamu dengan cara menyebarkan kekayaan kamu agar manusia memperolehi manfaat dari kekayaanmu. Sebarkan kasih sayang dengan melebarkan empayar perniagaanmu agar dapat memberikan manusia peluang pekerjaan. Mereka dapat memberi makan minum, pendidikan kepada anak-anaknya serta keluarganya melalui rezeki pekerjaan itu.
Sebarkan dan bantulah mereka, bukan sahaja di kalangan saudara se-Islammu tetapi sebarkan ia kepada semua agama dan bangsa di seluruh pelusuk dunia. Janganlah kamu berniaga atau berpersatuan dengan niat untuk menjatuhkan kaum atau bangsa tertentu, ia adalah assobiah. Jadilah usahawan yang niatnya untuk ibadah, jadikan ia sebagai ibadah dakwah sebagaimana saudagar Islam dahulu.
Kejayaan dan kekayaan kamu membawa manusia melihat keindahan dan kehebatan Islam. Hati mereka tersentuh dan tertarik dengan Islam. Mereka menghulurkan tangan kepadamu untuk menyerah diri kepada Islam. Mereka melihat keimanan, melihat kasih sayang, melihat kejujuran, melihat kamu tidak tamak mengaut keuntungan untuk dirimu semata-mata. Mereka melihat kamu mengamalkan konsep mencapai kejayaan bersama, tiada yang rugi dan hancur diatas kejayaanmu, tiada yang dikorbankan malah kejayaanmu menjadi obor kejayaan mereka.
Wahai para usahawan dan hartawan, jika kamu berjaya, pandanglah anak bangsamu, saudara se-Islammu dengan pandangan kasih sayang. Bantulah mereka dengan menghimpunkan anak-anak muda untuk diberikan kesedaran, semangat dan curahkan ilmumu kepada mereka. Bantulah mereka menjadi orang yang berjaya agar Islam dipenuhi muslim yang hebat dan berjaya.
Lahirkan seramai mungkin usahawan yang berjaya agar kekayaan dipegang oleh hamba yang soleh, yang memanfaatkan kekayaan itu untuk kebaikan. Bumi akan tersenyum indah, kekayaannya berada ditangan orang-orang yang soleh.
Janganlah kekayaan kamu hanya berlegar di kalangan kamu, janganlah kamu sombong di atas muka bumi ini. Allah membenci orang yang sombong. Banyakkan menangis di malam hari, hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, hadapkan dirimu dengan bayangan ketakutan Abdul Rahman bin Auf, Saidina Osman bin Affan, Saidina Abu Bakar radiaLlahu anhum. Mereka adalah hartawan yang menjadi kebanggaan Allah, para malaikat dan Nabi, kebanggaan langit dan bumi. Sejarah telah mengukir nama mereka sebagai usahawan dan hartawan yang berjaya menyebarkan keimanan dan kasih sayang.
MALAY CHAMBER DPMM: BUMIPUTERA DIINGAT TAK PERLEKEH SUMBANGAN DEB
MALAY CHAMBER DPMM: BUMIPUTERA DIINGAT TAK PERLEKEH SUMBANGAN DEB: "Bumiputera diingat tak perlekeh sumbangan DEB Dilaporkan oleh Malaysiakini.com pada Ogos 7, 10 3:18pm ..."
BUMIPUTERA DIINGAT TAK PERLEKEH SUMBANGAN DEB
Bumiputera diingat tak perlekeh sumbangan DEB | ||
| ||
Bumiputera diingatkan supaya tidak memperlekeh sumbangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah membantu dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Malaysia sehingga kini. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kejayaan terbesar dasar itu ialah memberi peluang pendidikan kepada masyarakat sehingga tertubuhnya Universiti Teknologi Mara dan syarikat besar seperti Permodalan Nasional Bhd. "Jangan memperlekeh DEB kerana dengan adanya dasar tersebut, kita dapat peluang untuk belajar sehingga ke tahap ini," katanya ketika merasmikan Seminar Rancangan Malaysia Ke-10 di Kuala Lumpur hari ini. Seminar itu dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM. Mustapa berkata fokus kerajaan dalam RMK-10 ialah pembangunan kapasiti dan akan menggunakan segala pengajaran dan pengalaman yang diperoleh melalui DEB untuk memastikan kejayaan rancangan tersebut. "Saya akan bawa segala cadangan di sini ke Mesyuarat Peringkat Tertinggi Agenda Pembangunan Bumiputera yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi," katanya. Mesyuarat pertama yang dijangka berlangsung 12 Ogos ini, akan diadakan setiap tiga bulan sekali, di mana ia akan merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera. Terdahulu, Presiden DPMM Syed Ali Alattas mencadangkan kerajaan menubuhkan Tabung Pembangunan Usahawan bernilai RM1 bilion, dengan tidak kurang daripada 30 peratus kontrak kerajaan diberikan kepada Bumiputera. Pada sidang akhbar, Mustapa turut menolak dakwaan luar yang kononnya Bumiputera merupakan punca utama kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI). "Ia bukan isu," katanya sambil menambah jumlah penglibatan Bumiputera dalam sektor pembuatan, yang merupakan sektor utama penyumbang FDI, sangat sedikit. Selain itu, beliau juga mencadangkan penubuhan dewan perniagaan 1Malaysia bagi usahawan muda pelbagai bangsa yang berumur 35 tahun ke bawah, dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum. "Saya dapati jurang antara usahawan-usahawan muda Melayu dan bangsa lain semakin ketara dan ini agak berbahaya dan boleh menjejaskan kedudukan ekonomi pada masa hadapan," katanya. Dengan penubuhan itu, yang akan dimulakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), beliau berharap usaha kerjasama strategik dapat diwujudkan, sekaligus dapat mengekalkan perhubungan harmoni antara kaum bagi kesejahteraan negara pada masa hadapan. - Bernama |
PENUBUHAN SUBSEKTOR INSURANS DAN TAKAFUL DPMM PUSAT
Asas dan Tujuan Penubuhan
Portfolio Industri Perkhidmatan
Subsektor Insuran dan Takaful DPMM PUSAT
1. Subsektor Insuran dan Takaful akan bertindak sebagai penaung kepada usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri Insuran dan Takaful agar dapat bergerak di bawah satu platform.
2. Menyatupadukan usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri ini.
3. Agar usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri ini dapat bergerak dan menyuarakan pandangan dan pendapat kepada Kerajaan dan pihak berwajib dalam satu suara.
4. Mengagihkan sebarang maklumat berkaitan industri Insurans dan Takaful kepada usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri ini sekaligus untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu keseluruhannya.
5. Membantu mewujudkan rangkaian perniagaan di kalangan usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri ini.
6. Memelihara, membantu dan melindungi kepentingan usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri ini yang bernaung di bawah Subsektor Takaful dan Insurans.
7. Mewujudkan kesedaran di kalangan usahawan Melayu di mana industri Insurans dan Takaful memainkan peranan penting dalam sektor ekonomi ketika ini.
8. Menganjurkan aktiviti dan program yang mendatangkan faedah kepada usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri ini.
9. Membuat perhubungan dan kerjasama dengan Sektor kerajaan dan Swasta yang terlibat dalam industri Insurans dan Takaful.
10. Sebarang aktiviti dan program Subsektor Insurans dan Takaful tertakluk dan berlandaskan pada Jawatankuasa Pengurusan DPMM, Majlis Eksekutif DPMM dan Undang-Undang Tubuh dan Perintah Peraturan DPMM.
Dato’ Mohd Noor Ali Akbar
Pengerusi
Subsektor Insurans dan Takaful
Langgan:
Catatan (Atom)